Thursday, April 3, 2014

Impian termakbul :)

hari ini dah lebih 2 bulan saya selamat pulang dari menunaikan umrah di tanah suci. Sesekali ingatan itu hadir,sebak juga dalam hati, air mata pun membasahi pipi. Kerinduan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Terasa Tanah Haram itu terlalu jauh jaraknya, walaupun dalam hati masih tergambar memori indah.

Sekadar berkongsi, sebenarnya saya benar-benar menyimpan cita-cita untuk menunaikan umrah ketika berusia 20 tahun pada tahun 2010. Terasa sangat cemburu di hati bila melihat sahabat-sahabat yang muda-muda lagi dah dipilih Allah menjadi tetamuNya.Sebelum itu, memang ada juga impian, tapi seingat saya, setelah berusia 20 tahun, barulah benar-benar impian itu saya simpan.

Saya pernah menyuruh beberapa orang sahabat saya yang pergi ke tanah suci mendoakan saya untuk ke sana juga. Saya berdoa, terutama pada bulan Ramadhan dan hari-hari yang dikatakan makbulnya doa supaya saya dapat ke tanah suci. Segala pujian bagi Allah, pada usia saya 24 tahun, Allah memakbulkan harapan ini dengan tidak disangka-sangka. Tidak pernah tergambar, salah satu impian saya sebelum menginjak usia 25 tahun itu Allah makbulkan. Saya pernah bermimpi, beberapa bulan sebelum khabar gembira itu, saya bermimpi saya berada di hadapan kaabah. SubhanAllah, tidak disangka, mimpi itu menjadi nyata.

Saya percaya, segala yang berlaku adalah dengan izin Allah dan dengan rahmat dan kasih sayang Allah yang tak terhingga. Nikmatnya berada di Tanah Suci, terasa dekat dengan Allah dan jasad agung kekasihNya.

Sekarang ini, saya bercita-cita pula agar Allah memakbulkan satu lagi harapan saya iaitu saya mahu menunaikan haji pada usia sebelum 40 tahun. Saya mahu melengkapi salah satu rukun Islam ke 5 itu ketika badan masih sihat, kalau boleh moga Allah izinkan saya pergi menunaikan haji bersama ibu bapa dan bakal suami satu hari nanti. Dan, doa saya, moga Allah permudahkan saya berkali-kali lagi dapat menunaikan umrah sepanjang hayat ini.

Aminnn...terima kasih ya Allah :)

Monday, February 10, 2014

hari lahir yg ke 24

Tanggal 26 Januari 2014 merupakan hari lahir saya yang ke-24.. Alhamdulillah, di usia ini terasa terlalu dewasa dan sudah jauh dari usia remaja. Tiada apa yang istimewa pada hari lahir saya yang ke 24 melainkan berada di negeri Makkah Al Mukarramah. \

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah, inilah hadiah bernilai dari ke-2 ibu bapa yang tercinta dan juga anugerah tak ternilai daripada Allah Taala buat hambaNya yang tiada apa-apa. Mudah-mudahan ulangtahun kelahiran yang lepas menjadikan saya hamba Allah yang lebih baik, muslimah yang solehah yang memberi manfaat kepada seluruh ummah.

Mudah-mudahan Allah memakbulkan segala impian saya dalam masa terdekat ini dan impian-impian lain. Sesungguhnya, umur ini hanya sementara. Segalanya pasti berakhir jua. Dan, masa itu semakin hampir, kematian yang semakin hampir yang entah bila. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan yang mati dalam Husnul Khotimah.. Aminn..

Saturday, February 8, 2014

pilihlah aku..

ya Rabb.. terima kasih krn telah menjemputku menjadi tetamu di rumahMu, 
tempat itu terlalu jauh buatku, beribu batu, 
tak tergambar bayangan mindaku semua doa menjadi nyata, 
Kau yang Maha Pemurah memilihku di usia ini menjadi tetamu Mu, 
Kau yang Maha Kaya memilih aku yg tiada apa ke sana, 
terima kasih wahai Tuhanku..

ya Allah, terimalah segala amalanku di bumi barakahMu, 
mudah2an segalanya, 
menghapus segala dosaku yg bak pepasir di pantai, 
menjadi asbab aku meraih syurgaMu,
menjadikan aku insan yang lebih baik pada hayatku..

ya Allah, di saat ini aku terlalu rindukan bumi Madinah penuh cinta dan bumi Makkah yg penuh keberkatan, 
air mata tak tertanggung menahan rindu ini, 
pilihlah aku lg ke tempat itu, 
tempat yang penuh keberkatan,
tempat yg Kau makbuli segala doa,
tempat yg menjanjikan pahala berlipat kali ganda, 
tempat yg tenang, 
tempat yg penuh kisah rasulMu, 
hingga kini aku dpt merasai nikmatnya iman.. 

Allahu Rabbi.. aku merindui Haramain, 
pilihlah aku dlm hayatku ini utk ke sana lagi, 
aku mahu ke sana lagi dan lagi, ya Allah..
jemputlah aku menjadi tetamu Mu..

Wednesday, February 5, 2014

Melawat ke Masjid Hudaibiah dan Ladang Unta.

Alhamdulillah pada hari Sabtu, 25 Januari 2014 kami melawat ke Masjid Hudaibiah yang termasuk dalam kawasan Tanah Halal. Bagi sesiapa yang ingin melakukan umrah boleh berniat di sana. Kami sempat mengambil beberapa keping gambar di belakang masjid ini yang merupakan tapak asal masjid ini. Masjid ini pun dibina sempena memperingati peristiwa Bai'ah Hudaibiah.(ok, kena membaca lagi sebab dah lupa.walaupun ustaz bagitahu tapi susah nak hadam...huhu)

bangunan asal masjid hudaibiyah

this is JAMAL ;)


Selesai solat zohor dan berniat umrah, kami pun bergerak ke ladang unta. Kami turun di 2 buah ladang kerana ladang pertama yang kami singgah tiada dijual susu dalam botol. Jadi, singgah di tempat ke-2, dapatlah kami menikmati susu unta:) Rasanya macam susu biasa je, cuma bau nya boleh tahan sebab saya minum betul-betul kat ladang unta tu. Tapi sebenarnya, kita ingat makanan sunnah dan baik utk kesihatan je, mesti boleh je di telan dengan mudah :)

Setelah itu, kami pun pulang ke hotel.. Alhamdulillah..

Monday, February 3, 2014

Berada di Makkah

Hari ke-2 kami di Mekah..

Setelah selesai solat subuh di Masjid, kami berkumpul untuk ziarah di sekitar Kota Makkah. Tempat pertama yang kami lalui adalah Jabal Tsur. Walaupun kami tak sempat menyinggah, namun Alhamdulillah saya dapat melihat bukit ini dari dalam bas.

Kemudian, perjalanan diteruskan. Ustaz menunjukkan kami Padang Arafah, tempat berkumpulnya jemaah haji untuk salah 1 rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Kemudian, kami singgah di Jabal Rahmah. Kami agak kesuntukan masa untuk naik ke puncak berhadapan dengan tiang putih, namun ustaz menyuruh kami berdoa untuk jodoh bersempena tempat tersebut yang dikatakan tempat pertemuan Adam dan Hawa setelah terpisah dari syurga. Untuk yang belum memiliki jodoh, nasihat ustaz supaya pilihlah jodoh hanya kerana agamanya :) Ustaz sempat bertanya saya setelah turun dari bas, "ha..ni dah jumpa jodoh ke belum?" saya cuma tersenyum sambil menggeleng, terus ustaz berkata, "haa.. pergi doa minta jodoh".. Saya terus menuju ke tepi-tepi bukit dan naik sedikit tangga. Kali ini, air mata saya gugur lagi mengenangkan, layakkah saya mendapat pasangan yang soleh? Saya berdoa dan berdoa pada Allah, moga dipertemukan saya seorang suami yang baik agamanya yang dapat membimbing saya menuju Allah dan paling penting dapat menerima saya seadanya. Tak lupa, saya berdoa supaya semua sahabat-sahabat saya yang belum bertemu jodoh dipertemukan jodoh mereka dengan insan yang baik-baik. Saya juga berdoa agar dikekalkan jodoh hingga ke syurga buat ibu bapa dan adik-beradik saya. Mudah-mudahan kami dapat bertemu kembali di syurga. Tak lupa, diselitkan doa-doa lain kerana di Jabal Rahmah ini adalah salah satu tempat yang makbulnya doa. InsyaAllah, aminn ya Rabb..

Jabal Rahmah

Selesai berada di Jabal Rahmah dan sempat mengambil beberapa keping gambar, kami kemudian melalui beberapa kawasan di Mina dan Arafah. Kelihatan banyak khemah-khemah untuk rukun bermalam di Mina bagi jemaah haji. InsyaAllah, saya berdoa pada Allah moga 1 hari Allah memilih saya menjadi jemaah haji untuk melengkapkan rukun Islam yang ke 5. Kami juga melalui beberapa kawasan antaranya Jabal Nur di sekitar Mekah.

Kemudian, kami ke Ji'ranah untuk berniat umrah bagi sesiapa yang ingin menunaikan umrah pada hari tersebut. Disebabkan kaki saya yang agak lenguh, jadi saya mengambil keputusan untuk tidak menunaikan umrah pada hari berkenaan. Begitu juga mak. Petangnya, saya dan mak pergi sendirian ke Masjidil Haram. Apabila kami ternampak ruangan agak selesa, kami pun masuk ke kawasan tawaf untuk melakukan tawaf sunat. Alhamdulillah, tidaklah terlalu sesak seperti malam sebelumnya. Setelah itu, kami pun menunaikan solat asar dan kemudian mencari ruangan di dalam masjid sementara menanti waktu maghrib. Alhamdulillah, setelah maghrib kami pulang kerana mak agak risau kerana hanya kami berdua. Sesampainya kami di hotel, kami terlihat di lobi hotel seorang mak cik dan pakcik yang pulang dari tawaf terlebih dahulu berbanding jemaah lain. Sempat kami menyembang, rupanya mak cik tersebut tidak tahu hendak ke mana selepas habis tawaf umrah dan pulang ke hotel. Itupun ditunjukkan arah oleh seorang polis. Cemas nampak wajah mak cik berkenaan yang masih dalam ihram. Kesian..

Esok subuhnya dapatlah kami menunaikan solat lagi di Masjdil Haram. Pulang sahaja, badan terasa panas dan hendak demam.Pagi itu merupakan kali terakhir buat saya menunaikan solat subuh kerana bendera merah sudah berkibar. Walaupun ubat telah saya makan untuk delay kan period, tapi ia hadir jua. Alhamdulillah Ala Kulli Hal. Perasaan memang agak sedih, masih belum puas menatap kaabah dan bersolat, namun aturan Allah itu lebih baik untuk kita sebagai hambaNya. InsyaAllah, segalanya mempunyai hikmahnya untuk saya. Maka, mulai hari tersebut jugalah, saya hanya duduk di bilik sambil mendengar alunan ayat al-quran daripada TV. Saya juga ditemani Mak Cik Sham dan ibunya yang sakit dan tidak larat ke masjid.

Perjalanan Ke Makkah

Perjalanan kami ke Makkah bermula selepas zohor dan makan tengahari lebih kurang jam 3 petang. Bas berhenti di Masjid Bir Ali untuk semua jemaah berhenti berniat di sana.  Keadaan di Bir Ali agak sesak dengan jemaah umrah. Saya dan mak agak ketinggalan sedikit sebab lambat mengambil wudhu’, jadi kami terpaksa la keluar dari Masjid tersebut sendirian. Kawasan masjid tersebut memang agak luas dan mudah tersesat. Terjumpa pula jemaah lelaki yang duduk di sebelah Pak dalam bas, jadi mak pun meminta dia menunjukkan kami jalan pulang ke bas.


Masjid Bir Ali


Alhamdulillah, selesai bermiqat. Setelah itu, ustaz mengetuai kami untuk bertalbiah. Syahdunya hati pertama kali bertalbiah sambil menghayati maknanya. Air mata membasahi kelopak mata.  Allahu Rabbi, kami datang menyambut panggilanMu yang Maha Agung.


Hotel Saqayat Alkhalil.. Look like hotel ni pemiliknya Indian @ Pakistan
Akhirnya sampailah kami ke Kota Makkah. Alhamdulillah, bangunan pertama yang kami nampak adalah Menara Jam. SubhanAllah, bercahaya dan tinggi. Kami sampai di Makkah lebih kurang jam 12 malam. Selepas check-in di Hotel Saqayat Al-Khalil, kami menjamu hidangan makan malam. Hidangan di Makkah adalah lebih kurang dengan makanan di Madinah. Hotel yang kami tinggal agak selesa dan kami bernasib baik kerana kami berempat berkongsi bilik yang agak luas yang mempunyai 6 katil. Memang kami gunakan keenam-enam katil untuk meletak baju dan tidur :) Tandas juga agak luas sehingga boleh membuat ampaian di dalam tandas. 

berkumpul sebelum ke Masjidil Haram utk kali pertama

ingat jalan sekitar. di depan dah nampak masjid :)

tengok depan belakang.. hafal jalan
Kaabah.. gambar pd malam pertama umrah kami :)
Setelah siap semua urusan kami pun bergerak ke Masjidil Haram untuk umrah pertama kami. Kami berjalan secara berjemaah ke masjid. Akhirnya, sampailah kami ke Bab Malik Abdul Aziz, pintu nombor 1. Buat kesekian kali,air mata mula membasahi kelopak mata. Allahu Akbar, inilah tempat yang selalu ku lihat sekadar dalam gambar. Kini, segalanya di depan mata. Lampu-lampu sekitar masjidil haram menambahkan keindahan masjid. Kami terus berjalan ke dalam masjid. Samar-samar kelihatan Kaabah dari jauh. Akhirnya, kaabah berada di depan mata. Allahu Akbar! Aku berada di sini. Ditempat yang Kau janjikan penuh keberkatan dan makbulnya doa-doa. Ya Allah ampunilah aku.Lemahnya aku berbanding kekuasaanMu. Terima kasih kerana memilihku berada di hadapan Kaabah diantara berjuta manusia yang mengharap panggilan ini.

pintu-pintu sekitar masjid. ada byk nombor..

Kemudian, kami terus bertawaf. Suasana di tengah malam tawaf kami agak selesa dan ada ruangan untuk berjalan. Setelah siap tawaf, kami pun pergi bersolat sunat tawaf di kawasan berhampiran dengan pintu Kaabah dan makam Ibrahim. Selesai solat, kami semua berdoa. Ketika ini, air mata tak mampu dibendung, terus menangis dan menangis, mengharap Allah memakbulkan segala hajat dan terlalu bersyukur kerana terpilih menjadi tetamuNya. Ustaz memberikan kami agak lama ruangan untuk berdoa, jadi saya menggunakan masa tersebut untuk membuka buku nota saya dan membaca doa-doa yang dikirimkan sahabat-sahabat saya.Selesai bersolat, kami pun menuju ke tempat Saie. Alhamdulillah, selesai saie dan kemudian kami bergunting. Kami pulang ke hotel setelah siap solat Subuh dan solat jenazah.
tempat saie.. satu2nya gambar :)


Kenangan yang tak dapat dilupakan subuh tersebut adalah Pak tersesat dan tak tahu arah pulang selepas solat. Dengan kemudahan handphone maka saya pun tunggulah Pak di depan pintu nombor 1 bersama Mak (nasib baik awal-awal di Madinah dah ambil nombor masing2). Saya dan Mak nak pergi mencari pun takut tersesat, jadi kami mengambil keputusan untuk hanya menunggu. Puas juga menunggu dan banyak kali call kerana Pak keliru dengan nombor-nombor pintu. Akhirnya, jumpalah Pak dengan pintu tersebut. Alhamdulillah. Pertama dan terakhir kali tersesat. Kadangkala sesat ni bagus juga, sekurang-kurangnya ingatan kita pada jalan akan semakin kuat. ;)

Siangnya selesai solat Zohor, sesiapa yang ingin menunaikan umrah ke-2 boleh mengikuti jemaah pergi bermiqat di Tanaim. Bayaran bas untuk setiap seorang adalah 10 Riyal. Walaupun kaki agak lenguh, tapi saya mengikuti juga mak dan pak kerana risau tinggal di hotel sendirian. Selesai bermiqat di Tanaim kami pun menuju ke Masjid. Ustaz memberikan kami panduan untuk berniat Umrah Badal untuk saudara-saudara yang telah meninggal dunia. Kami memulakan tawaf setelah solat Maghrib. MasyaAllah, ramai sungguh manusia hingga terpaksa berhimpit-himpit. Kali pertama merasa tawaf dalam keadaan berhimpit-himpit dengan orang-orang arab yang berbadan agak besar berbanding orang Asia dan terpaksa pula berkejaran dengan jemaah lain. Alhamdulillah akhirnya selesai juga umrah ke-2 kami.



Madinah Al- munawwarah

Alhamdulillah, setelah 5 jam perjalanan kami. Tibalah kami di bumi Madinah. Apabila ustaz memberi pengunguman sahaja kami telah tiba di Madinah dan menyuruh kami berdoa, rasa hiba tiba-tiba hadir. Inilah tempat yang dinanti sekian lama untuk sampai. SubhanAllah akhirnya Allah memakbulkan jua cita-cita.

Turun sahaja kami dari bas, cuaca sejuk mula menyelubungi. Di bibir terasa kering dan di kulit terasa sejuk hingga ke tulang. Inilah air cond semula jadi yang Allah cipta tanpa perlu di bayar apa-apa. Tersangat dingin dan tersangat damai. SubhanAllah, semuanya indah..Saya menyapukan krim di bibir supaya memberi ketahanan kepada bibir supaya tidak pecah. 

Kami terus turun dari bas menuju ke hotel. Kami menginap di hotel Al-Andalus. Kami menginap di hotel dengan Mak, Mak Cik Sham dan Tok (mak Mak Cik Sham). Sebelum subuh, ustaz menyuruh kami berkumpul di lobi hotel untuk bersama-sama ke Masjid Nabawi. Sementara menunggu sempat seorang Mak Cik berkata pada saya, "Untung kamu, muda-muda dah dapat pergi Umrah. Lepas ni mesti berkali-kali lagi kamu dapat pergi." saya hanya senyum dan mengaminkan dalam hati. Tak lupa, mak cik tu memesan, " Jangan lupa doa ringan jodoh".. baiklah makcik ;)
hotel tempat kami menginap..

Kemudian, kami pun berjalan secara berjemaah ke masjid. Semua jalan mesti diingati takut-takut tersesat dapat kenal tempat-tempat sekitar hotel. Akhirnya tibalah kami ke hadapan masjid Nabawi. Nampak sahaja tiang-tiang masjid air mata kesyukuran terus jatuh melimpah-limpah. Syukurnya hati terpilih menjadi tetamu Rasulullah SAW. Selawat diucap berkali-kali.

Setelah solat subuh dan makan, kami semua jemaah wanita di bawa untuk menziarahi raudhah. Raudhah untuk wanita dibuka secara terhad dan mengikut masa tertentu. Jadi, memang kena sedaya upaya untuk ambil peluang memasuki Raudhah yang dikatakan tempat mustajabnya doa. Sebelum ke sana, ustaz memberikan taklimat serba ringkas mengenai raudhah. Memang masing-masing teruja. Sementara menunggu memasuki Raudhah. Tiba-tiba saya dan mak hendak ke tandas. Jadi, kami meninggalkan jemaah wanita lain yang sedang menunggu di dalam masjid. Takdir Allah, apabila keluar sahaja kami dari masjid, selipar kami telah hilang diambil orang. Puas saya mencari di merata pintu, namun tidak berjumpa. Pengajaran juga untuk berhati-hati meletak slipar di masjid. Kami terus juga meninggalkan masjid untuk ke tandas walaupun tanpa selipar. Setelah siap mengambil wudhu', masuk sahaja kami ke masjid semua rombongan kami tadi telah selamat masuk dan tiada lagi pintu dibuka untuk memasuki Raudhah. Allah, sedihnya dalam hati Allah sahaja yang tahu. Kami terus keluar dari masjid dan pulang ke hotel dengan hanya berstokin. Takut-takut juga tersesat kerana itu merupakan hari pertama kami di sana. Sesampainya berhampiran hotel, kami membeli sandal baru di situ.
masjid Nabawi.. sgt cantik :)


payung yg tertutup pd waktu malam.. I <3 Madinah..

Keesokan harinya, tarikh 21 Januari 2014 setelah solat subuh, semua jemaah di bawa untuk ziarah. Ziarah adalah sebenarnya antara yang menggembirakan semasa berada di Tanah Haram. Dapat lihat kesan-kesan sejarah daripada Rasul terdahulu :) Dan bas yang kami naiki adalah bad TRIO yang mana pemandunya adalah Indonesian. Tempat pertama yang kami singgah adalah Masjid Quba. Sebelum sampai ke sana, kami melalui perkuburan Baqi' yang  terletaknya makam ahli keluarga dan sahabat Rasulullah SAW. Alhamdulillah, sempat kami memberi salam walaupun hanya dari atas bas. Bas terus berjalan hingga sampai kami ke Masjid Quba. Di dalam hadis ada menyebut sesiapa yang berwudhu' di rumahnya kemudian datang bersolat di masjid ini, pahalanya adalah seperti pahala umrah. Aminnn.. mudah-mudahan. Masuk sahaja masjid ini, ramai sangat manusia. Bersesak-sesak. Namun, dengan semangat tak putus asa, semua jemaah dapat juga masuk dan mendirikan 2 rakaat solat di sini. Air mata tumpah lagi mengenangkan dipilih Allah menjadi tetamu di antara masjidnya yang mempunyai sejarah kekasih Agung. Alhamdulillah.
masjid quba

Setelah selesai semua jemaah keluar dari masjid dan ada diantaranya yang sempat bershopping, kami pun meneruskan perjalanan ke Ladang Kurma. Sebenarnya, tak nampak sangat ladang kurmanya, sebab sampai je, terus nampak kedai kurma. Jadi, kami pun masuk dan membelidi situ. Harganya, boleh tahan berkali ganda mahal berbanding tempat lain.
pelbagai jenis kurma boleh didapati di sini. Cuma, harga agak mahal.

Puas bershopping, bas membawa kami ke Jabal Uhud. Saya sangat teruja kalau ke Jabal-jabal ni.. Tapi, semasa di Mekah, kami hanya sempat ke Jabal Rahmah. Jabal Tsur dan Jabal Nur tak sempat kami lawati. Tak apalah. Semasa di Jabal Uhud, semua jemaah yang larat boleh mendaki ke atas sebahagian Jabal Uhud( tak silap saya dinamakan Jabal Ar-rumah). Tak tinggi sangat, nak naik ramai yang laju je tapi masa turun ramai la makcik-makcik yang gayat termasuklah mak.

Jabal Uhud ni mempunyai sejarahnya tersendiri. Jabal Uhud tempat pernah berlakunya peperangan Uhud. Jabal Uhud ni juga merupakan bukit yang dijanjikan syurga. InsyaAllah, mudah-mudahan berkat lawatan ni menjadi bukti di akhirat kelak bahawa kami pernah memijak tempat yang pernah membawa Islam ke suatu tahap yang lebih tinggi hingga hari ini kita semua dapat merasai nikmat Iman dan Islam. Di atas bukit tersebut, ustaz menceritakan serba ringkas tentang peperangan Uhud ni. Entah saya ni tak fokus atau susah faham atau kurang dengar, maka cerita-cerita tersebut tak dapat dihadam. Kena membaca semula la ni :) Ustaz juga membacakan doa yang menyebabkan air mata kami jatuh lagi. Allah, mudah-mudahan air mata yang pernah gugur semasa di tanah haram hanyalah kerana Mu jua ya Allah.

Jabal Uhud

Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di Masjid Qiblatain. Siapa yang mempunyai wudhu', boleh singgah dan bersolat sunat. Tapi, kami turun sahaja tidak masuk ke dalam masjid.

Esoknya, 22 Januari 2014 merupakan hari terakhir kami di Madinah. Saya dan mak sangat risau dan bimbang sekiranya kami tak dapat memasuki Raudhah. Perasaan sangat teruja untuk melihat keadaan di Raudhah, masuk, berdoa dan solat di dalamnya. Maka, kami pun ke Masjid untuk ziarah wada' dan dengan harapan terakhir dapat memasuki Raudhah. Ya, masa sangat suntuk untuk kami. Sebelum zohor, kami mesti menyelesaikan semua beg yang akan di bawa ke Mekah. Kami pun berjalan ke Masjid Nabawi bersama beberapa orang mak cik. Semasa dalam perjalanan, Mak Cik Ah yang membawa kami boleh pula tersalah masuk jalan. Pusing-pusing akhirnya sampailah ke depan guard pertama. Kat sini, jemaah diasingkan ikut negeri. Indonesia dengan Malaysia. Lepas melalui saringan pertama. Masuklah kami ke kawasan berhampiran Raudhah. Allah, tiba-tiba mata saya terpandang sesuatu yang selama ini saya cari di Masjid Nabawi. Kubah Hijau! ya., di bawahnya ada jasad agung yang terlalu agung yang terlalu sempurna. Assalamualaikum ya Rasulullah SAW. Berkali-kali salam disampaikan. Air mata jatuh membasahi pipi. Terasa baginda terlalu hampir. Salam daripada sahabat-sahabat juga saya sampaikan. Dalam kesesakan orang, dan polis yang mengawasi tidak berapa perasan, kami pun meluru masuk ke dalam kawasan raudhah bersama mak cik Ah. Makcik-makcik lain yang ikut kami terlebih dahulu pulang sebab rasa tak boleh masuk. Kami pun masuk ke dalam. Belum sampai ke karpet hijau yang menandakan raudhah, kami bersolat sunat dahulu. Bimbang kalau-kalau tak berpeluang untuk masuk, solat di situ pun dah cukup kerana kawasan itu pun sudah terlalu hampir dengan raudhah.Terlalu ramai orang di kawasan tersebut. Kami meneruskan lagi perjalanan ke hadapan. Ditolak dan ditolak, akhirnya saya berdiri di atas karpet hijau. "Mak, karpet hijau" kata saya kepada mak kerana terasa sangat teruja. Alhamdulillah. Terlalu kalut di situ, sampai doa pun dah tak tersusun jadinya. Saya cuba ke hadapan untuk mencari ruangan untuk bersolat. Saya terlanggar pula makcik Arab sorang ni yang tengah solat atas kerusi, marah dia bukan main. Maaflah ye makcik, memang ruangan kat situ terlalu kecil saya terpaksa terlanggar mak cik.Nak je cakap macam tu.Huhu.. tapi dah terlanggar..Astaghfirullah. :( saya pun ditolak-tolak ke depan tak jauh dari mak dan mak cik ah. Ada sikit ruang untuk solat, saya pun solat sunat sambil duduk di situ. Alhamdulillah, walaupun sujud kurang sempurna, Allah beri juga peluang untuk sujud di raudhah. Selesai solat, saya berdiri dan mencari mak dan makcik ah. Kami pun keluar meninggalkan raudhah. Sebak sangat dalam hati Allah sahaja yang tahu. Moga Allah beri lagi saya dan mak peluang untuk jejak Raudhah dan ziarah makam Rasulullah SAW.
Selepas zohor dan makan, kami pun berangkat ke Mekah. Semua jemaah telah siap dengan berpakaian ihram untuk berniat Ihram di Bir Ali, tak berapa jauh dari Madinah.

Saturday, February 1, 2014

Perjalanan Ke Bumi Madinah

Bismillah wassolatu wassalam ala Rasulillah..

Seenarnya tak tahu nak mulakan dari mana penulisan blog ni. Niat asal menulis sekadar mengingatkan semua kenangan manis di Bumi Haramain- Mekah & Madinah supaya tak terpadam dari ingatan. 

Baiklah, saya mulakan dengan perjalanan kami bertarikh 18 Januari 2014. Alhamdulillah, setelah siap segala perancangan, maka bermulalah kembara kami menaiki bas dari Jengka 16 ke KLIA. Sangat ramai anak-anak dan cucu jemaah yang datang menghantar sekitar Sek Men Keb Jengka 16. Keluarga saya, Abang Hairi, Kak Liza, Irsyad, G dan Kak Siti pun datang menghantar kami. Semua asyik melambai dari bawah bas menghantar kami ke Bumi Haramain :) Kami bertolak jam 12 malam. 

anak cucu jemaah yang hadir..

Dalam bas, memang tak dapat tidur. Kami sampai di KLIA jam 3 lebih kurang. Lama juga menungga untuk menaiki pesawat transit ke Colombo jam 7 pagi. Dik Wan (sepupu) juga datang melawat sebelum kami berlepas.

semua jemaah umrah

Bermulalah kembara kami menaiki kapal terbang. Memang sabar jelah pertama kali naik kapal terbang. Kepala saya memang agak sakit dan tak tahan dengan keadaan di dalam kapal terbang. Duduklah saya di sebelah isteri Pak cik Baharuddin sebab tiket kapal terbang kami memang tak tersusun mengikut keluarga. Alhamdulillah setelah menunggu selama 4 jam di dalam pesawat (asyik tengok dalam skrin bila nak sampai) akhirnya tibalah kami ke Lapangan Terbang Colombo. Agak ramai jemaah umrah yang ada di Colombo. Kebanyakannya orang Indonesia dan mungkin orang tempatan. Tak lama menunggu kemudian kami menaiki pula pesawat ke Jeddah. Pesawat Saudi Airlines. Kali ni, setiap beg kena cek. Jadi, nak tak nak kenalah buka semua beg yang di bawa dan badan pun di scan dengan alat pengimbas. Perjalanan selama 5 jam ke Jeddah. Nasib baik dapat tukar tempat duduk dan duduk sebelah mak. Best sikit flight Saudi Airlines. Dalam skrin depan banyak cerita yang best. Tapi tak rasa nak tengok sebab kepala sakit dan tak boleh fokus. So, kejap2 tidur jelah. Akhirnya pesawat pun mendarat di Riyadh. Kami semua ingat dah sampai. Rupanya belum sampai ke Jeddah. Sejam kemudian perjalanan di sambung barulah kami sampai ke Jeddah jam 5 petang lebih. Di Jeddah, lama juga menunggu untuk urusan imegresen dan cek visa. Memang panjang dan berjam-jam beratur menunggu giliran. Memang kat sini kena sabar banyak-banyak dengan kerenah mereka. 

subhanAllah, pertama kali melihat pemandangan ini. Berada di atas awan. Indah, sangat indah...

makanan kami dalam pesawat Saudi Airlines. Telan aja..

skrin depan setiap tempat duduk dalam Saudi Airlines

di Airport Jeddah, Alhamdulillah.. tiba juga kami di tanah Arab..
Setelah selesai semua urusan di pihak imegresen, kami pun pergi menyelesaikan urusan beg-beg kami. Setelah itu, semua yang kepenatan memulakan perjalanan menaiki bas ke Madinah selama 5 jam. Kami berhenti sebentar di sebuah musolla untuk mendirikan solat dan mengisi perut yang kosong. Kemudian, kami pun meneruskan kembara menaiki bas ke Madinah. Semua tidur dalam bas kerana kepenatan menaiki kapal terbang.