Monday, February 3, 2014

Perjalanan Ke Makkah

Perjalanan kami ke Makkah bermula selepas zohor dan makan tengahari lebih kurang jam 3 petang. Bas berhenti di Masjid Bir Ali untuk semua jemaah berhenti berniat di sana.  Keadaan di Bir Ali agak sesak dengan jemaah umrah. Saya dan mak agak ketinggalan sedikit sebab lambat mengambil wudhu’, jadi kami terpaksa la keluar dari Masjid tersebut sendirian. Kawasan masjid tersebut memang agak luas dan mudah tersesat. Terjumpa pula jemaah lelaki yang duduk di sebelah Pak dalam bas, jadi mak pun meminta dia menunjukkan kami jalan pulang ke bas.


Masjid Bir Ali


Alhamdulillah, selesai bermiqat. Setelah itu, ustaz mengetuai kami untuk bertalbiah. Syahdunya hati pertama kali bertalbiah sambil menghayati maknanya. Air mata membasahi kelopak mata.  Allahu Rabbi, kami datang menyambut panggilanMu yang Maha Agung.


Hotel Saqayat Alkhalil.. Look like hotel ni pemiliknya Indian @ Pakistan
Akhirnya sampailah kami ke Kota Makkah. Alhamdulillah, bangunan pertama yang kami nampak adalah Menara Jam. SubhanAllah, bercahaya dan tinggi. Kami sampai di Makkah lebih kurang jam 12 malam. Selepas check-in di Hotel Saqayat Al-Khalil, kami menjamu hidangan makan malam. Hidangan di Makkah adalah lebih kurang dengan makanan di Madinah. Hotel yang kami tinggal agak selesa dan kami bernasib baik kerana kami berempat berkongsi bilik yang agak luas yang mempunyai 6 katil. Memang kami gunakan keenam-enam katil untuk meletak baju dan tidur :) Tandas juga agak luas sehingga boleh membuat ampaian di dalam tandas. 

berkumpul sebelum ke Masjidil Haram utk kali pertama

ingat jalan sekitar. di depan dah nampak masjid :)

tengok depan belakang.. hafal jalan
Kaabah.. gambar pd malam pertama umrah kami :)
Setelah siap semua urusan kami pun bergerak ke Masjidil Haram untuk umrah pertama kami. Kami berjalan secara berjemaah ke masjid. Akhirnya, sampailah kami ke Bab Malik Abdul Aziz, pintu nombor 1. Buat kesekian kali,air mata mula membasahi kelopak mata. Allahu Akbar, inilah tempat yang selalu ku lihat sekadar dalam gambar. Kini, segalanya di depan mata. Lampu-lampu sekitar masjidil haram menambahkan keindahan masjid. Kami terus berjalan ke dalam masjid. Samar-samar kelihatan Kaabah dari jauh. Akhirnya, kaabah berada di depan mata. Allahu Akbar! Aku berada di sini. Ditempat yang Kau janjikan penuh keberkatan dan makbulnya doa-doa. Ya Allah ampunilah aku.Lemahnya aku berbanding kekuasaanMu. Terima kasih kerana memilihku berada di hadapan Kaabah diantara berjuta manusia yang mengharap panggilan ini.

pintu-pintu sekitar masjid. ada byk nombor..

Kemudian, kami terus bertawaf. Suasana di tengah malam tawaf kami agak selesa dan ada ruangan untuk berjalan. Setelah siap tawaf, kami pun pergi bersolat sunat tawaf di kawasan berhampiran dengan pintu Kaabah dan makam Ibrahim. Selesai solat, kami semua berdoa. Ketika ini, air mata tak mampu dibendung, terus menangis dan menangis, mengharap Allah memakbulkan segala hajat dan terlalu bersyukur kerana terpilih menjadi tetamuNya. Ustaz memberikan kami agak lama ruangan untuk berdoa, jadi saya menggunakan masa tersebut untuk membuka buku nota saya dan membaca doa-doa yang dikirimkan sahabat-sahabat saya.Selesai bersolat, kami pun menuju ke tempat Saie. Alhamdulillah, selesai saie dan kemudian kami bergunting. Kami pulang ke hotel setelah siap solat Subuh dan solat jenazah.
tempat saie.. satu2nya gambar :)


Kenangan yang tak dapat dilupakan subuh tersebut adalah Pak tersesat dan tak tahu arah pulang selepas solat. Dengan kemudahan handphone maka saya pun tunggulah Pak di depan pintu nombor 1 bersama Mak (nasib baik awal-awal di Madinah dah ambil nombor masing2). Saya dan Mak nak pergi mencari pun takut tersesat, jadi kami mengambil keputusan untuk hanya menunggu. Puas juga menunggu dan banyak kali call kerana Pak keliru dengan nombor-nombor pintu. Akhirnya, jumpalah Pak dengan pintu tersebut. Alhamdulillah. Pertama dan terakhir kali tersesat. Kadangkala sesat ni bagus juga, sekurang-kurangnya ingatan kita pada jalan akan semakin kuat. ;)

Siangnya selesai solat Zohor, sesiapa yang ingin menunaikan umrah ke-2 boleh mengikuti jemaah pergi bermiqat di Tanaim. Bayaran bas untuk setiap seorang adalah 10 Riyal. Walaupun kaki agak lenguh, tapi saya mengikuti juga mak dan pak kerana risau tinggal di hotel sendirian. Selesai bermiqat di Tanaim kami pun menuju ke Masjid. Ustaz memberikan kami panduan untuk berniat Umrah Badal untuk saudara-saudara yang telah meninggal dunia. Kami memulakan tawaf setelah solat Maghrib. MasyaAllah, ramai sungguh manusia hingga terpaksa berhimpit-himpit. Kali pertama merasa tawaf dalam keadaan berhimpit-himpit dengan orang-orang arab yang berbadan agak besar berbanding orang Asia dan terpaksa pula berkejaran dengan jemaah lain. Alhamdulillah akhirnya selesai juga umrah ke-2 kami.



No comments:

Post a Comment