Monday, February 3, 2014

Berada di Makkah

Hari ke-2 kami di Mekah..

Setelah selesai solat subuh di Masjid, kami berkumpul untuk ziarah di sekitar Kota Makkah. Tempat pertama yang kami lalui adalah Jabal Tsur. Walaupun kami tak sempat menyinggah, namun Alhamdulillah saya dapat melihat bukit ini dari dalam bas.

Kemudian, perjalanan diteruskan. Ustaz menunjukkan kami Padang Arafah, tempat berkumpulnya jemaah haji untuk salah 1 rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Kemudian, kami singgah di Jabal Rahmah. Kami agak kesuntukan masa untuk naik ke puncak berhadapan dengan tiang putih, namun ustaz menyuruh kami berdoa untuk jodoh bersempena tempat tersebut yang dikatakan tempat pertemuan Adam dan Hawa setelah terpisah dari syurga. Untuk yang belum memiliki jodoh, nasihat ustaz supaya pilihlah jodoh hanya kerana agamanya :) Ustaz sempat bertanya saya setelah turun dari bas, "ha..ni dah jumpa jodoh ke belum?" saya cuma tersenyum sambil menggeleng, terus ustaz berkata, "haa.. pergi doa minta jodoh".. Saya terus menuju ke tepi-tepi bukit dan naik sedikit tangga. Kali ini, air mata saya gugur lagi mengenangkan, layakkah saya mendapat pasangan yang soleh? Saya berdoa dan berdoa pada Allah, moga dipertemukan saya seorang suami yang baik agamanya yang dapat membimbing saya menuju Allah dan paling penting dapat menerima saya seadanya. Tak lupa, saya berdoa supaya semua sahabat-sahabat saya yang belum bertemu jodoh dipertemukan jodoh mereka dengan insan yang baik-baik. Saya juga berdoa agar dikekalkan jodoh hingga ke syurga buat ibu bapa dan adik-beradik saya. Mudah-mudahan kami dapat bertemu kembali di syurga. Tak lupa, diselitkan doa-doa lain kerana di Jabal Rahmah ini adalah salah satu tempat yang makbulnya doa. InsyaAllah, aminn ya Rabb..

Jabal Rahmah

Selesai berada di Jabal Rahmah dan sempat mengambil beberapa keping gambar, kami kemudian melalui beberapa kawasan di Mina dan Arafah. Kelihatan banyak khemah-khemah untuk rukun bermalam di Mina bagi jemaah haji. InsyaAllah, saya berdoa pada Allah moga 1 hari Allah memilih saya menjadi jemaah haji untuk melengkapkan rukun Islam yang ke 5. Kami juga melalui beberapa kawasan antaranya Jabal Nur di sekitar Mekah.

Kemudian, kami ke Ji'ranah untuk berniat umrah bagi sesiapa yang ingin menunaikan umrah pada hari tersebut. Disebabkan kaki saya yang agak lenguh, jadi saya mengambil keputusan untuk tidak menunaikan umrah pada hari berkenaan. Begitu juga mak. Petangnya, saya dan mak pergi sendirian ke Masjidil Haram. Apabila kami ternampak ruangan agak selesa, kami pun masuk ke kawasan tawaf untuk melakukan tawaf sunat. Alhamdulillah, tidaklah terlalu sesak seperti malam sebelumnya. Setelah itu, kami pun menunaikan solat asar dan kemudian mencari ruangan di dalam masjid sementara menanti waktu maghrib. Alhamdulillah, setelah maghrib kami pulang kerana mak agak risau kerana hanya kami berdua. Sesampainya kami di hotel, kami terlihat di lobi hotel seorang mak cik dan pakcik yang pulang dari tawaf terlebih dahulu berbanding jemaah lain. Sempat kami menyembang, rupanya mak cik tersebut tidak tahu hendak ke mana selepas habis tawaf umrah dan pulang ke hotel. Itupun ditunjukkan arah oleh seorang polis. Cemas nampak wajah mak cik berkenaan yang masih dalam ihram. Kesian..

Esok subuhnya dapatlah kami menunaikan solat lagi di Masjdil Haram. Pulang sahaja, badan terasa panas dan hendak demam.Pagi itu merupakan kali terakhir buat saya menunaikan solat subuh kerana bendera merah sudah berkibar. Walaupun ubat telah saya makan untuk delay kan period, tapi ia hadir jua. Alhamdulillah Ala Kulli Hal. Perasaan memang agak sedih, masih belum puas menatap kaabah dan bersolat, namun aturan Allah itu lebih baik untuk kita sebagai hambaNya. InsyaAllah, segalanya mempunyai hikmahnya untuk saya. Maka, mulai hari tersebut jugalah, saya hanya duduk di bilik sambil mendengar alunan ayat al-quran daripada TV. Saya juga ditemani Mak Cik Sham dan ibunya yang sakit dan tidak larat ke masjid.

No comments:

Post a Comment